Suria FM Merancakkan Golongan Istimewa Sempena Lebaran.
September 2, 2010 by admin
Kemeriahan Ramadhan pasti tidak akan lengkap tanpa Majlis Berbuka Puasa, khas untuk semua kakitangan Suria FM, para media, pengiklan dan tetamu korporat yang telah banyak membantu serta artis-artis yang banyak menyokong. Baru-baru ini, Suria FM dengan kerjasama Swiss-Garden Hotel & Residences Kuala Lumpur mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan diadakan di Grand Hibiscus Ballroom, Level 3 di hotel itu. Ini merupakan majlis tahunan yang pasti diadakan oleh Suria FM setiap tahun.
Suria FM tidak lupa untuk menunaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat, khasnya kepada golongan anak yatim dan miskin. Seramai 45 anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Miskin Siraman Kasih di jemput bersama. Menurut Encik Azrullah Mohd Nor, COO Suria FM, “Kami di Suria FM amat bersyukur kerana berpeluang untuk berbuka bersama semua yang hadir antaranya pihak media, dengan pendengar kami yang kurang bernasib baik, pihak artis dan juga ahli keluarga Suria FM sendiri. Semoga majlis ini mendapat keberkatan dan bersama-samalah kita berdoa agar Ramadhan dan Aidilfitri yang akan datang ini dapat disambut dengan penuh berkat.”
Seramai lima orang artis telah tampil untuk membuat persembahan pada malam itu iaitu Nubhan, One Nation Emceess, Nashrin, Sabhi Sadhi & Altimet. Wana My Star LG pula tidak melepaskan peluang untuk tampil ke atas pentas dan menyanyi duet bersama Nashrin. Persembahan menarik dari kesemua artis itu berjaya memeriahkan suasana dan menghiburkan tetamu khasnya anak-anak yatim/miskin yang diraikan.



